Saturday, January 23, 2010

Isu "Allah" apa kata Anwar (video)

Buka minda anda jangan jumud...Dengar dan nilai apa kata beliau...

Isu Royalti Minyak - Busuknya Hati Pemimpin UMNO

KUALA TERENGGANU, Jan 21 — Bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abas berkata, ahli-ahli politik termasuk anggota jemaah menteri dari Umno, yang tidak mahir tentang undang-undang pembangunan petroleum tidak wajar memperkudakan isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri dan pusat khususnya dalam tuntutan Kelantan sekarang.

Oleh itu tegas beliau, dari segi undang-undang, rakyat kini seolah-olah dikelirukan oleh ahli-ahli politik yang berfikiran sempit tentang selok-belok perundangan dalam isu tuntutan royalti minyak oleh Kelantan dan Terengganu.

“Persoalan yang ada di hadapan kita semua sekarang ialah berkaitan hak sesebuah negeri dalam menuntut royalti dari Petronas, bukannya dari kerajaan pusat.

“Orang ramai mesti faham perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, bukanya dari kerajaan pusat.

“Kerajaan pusat juga mendapat royalti dari Petronas,” kata beliau ketika ditemui di kediamannya di sini.

Timbulnya penafian hak oleh kerajaan pusat terhadap Terengganu dan Kelantan dalam isu tersebut, beliau berkata adalah kerana terdapat unsur politik, lantaran dendam kesumat pemimpin Umno terhadap PAS.

Salleh merujuk sejarah pembayaran royalti minyak kepada Terengganu sebanyak lima peratus, yang dibayar dua kali setahun semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun kata beliau, hak itu disekat selepas berlaku peralihan kuasa kerajaan negeri kepada PAS pada 1999. Terengganu dikuasai PAS pada 1999 manakala Kelantan diambil alih oleh PAS sejak 1990.

Salleh antara individu terlibat langsung dengan penubuhan Petroliam Nasional Berhad pada 1974 yang terikat dengan Akta Pembangunan Petroliam 1974 amat memahami matlamat awal penubuhannnya terlalu kecewa terhadap kesulitan yang sedang berlaku sekarang ini. “Ia tidak lain semata-mata kerana hati busuk sesetengah pemimpin Umno. Dulu Terengganu. Sekarang Kelantan pula dinafikan haknya,” katanya.

Mengulas lanjut, isu tuntutan royalti minyak kini dicemari pelbagai tafsiran tidak jelas dari mereka yang tidak mahir dengan undang-undang kerana politik telah mengatasi kepentingan rakyat.

Tegasnya, bab undang-undang perlu ditelaah secara mendalam oleh ahli politik sekiranya perkara itu ingin dicanangkan kepada rakyat bukannya bercakap berdasarkan kepentingan politik peribadi kerana semata-mata ingin menonjolkan diri di mata ketua.

“Saya amat berharap kepada Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi Petronas akan membuat penjelasan yang sebaik mungkin demi kebaikan rakyat terhadap hak sebenar dalam menuntut royalti minyak ini,” katanya.

Tengku Razaleigh dijadual memberi penerangan berhubung perkara berkaitan itu di Stadium Sultan Mohd IV di Kota Baru pada 28 Jan ini.

Ditanya beberapa kerat pemimpin Umno Kelantan cuba menjadi hero menafikan hak itu, Saleh berkata, “itulah sifat rakyat yang cuba derhaka pada negeri sendiri.”

Menurutnya situasi begitu tidak menjadi satu perkara yang menghairankan jika tentangan itu datangnya daripada rakyat negeri lain.

“Kalau itu boleh dikira sebagai hasad dengki tetapi kalau dari rakyat negeri sendiri, susahlah nak kata apa pada mereka ini,” ujarnya.

Sebelum ini dua rakyat kelahiran Kelantan dalam jemaah iaitu Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Dr Awang Adek Husein dilabel sebagai tidak ‘cakna’ terhadap kepentingan rakyat negeri sendiri apabila mengambil langkah cuba menolak hak royalti Kelantan sebaliknya terus mempertahan pemberian wang ihsan.

Pemberian wang ihsan kepada Kelantan diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu sebagai ganti royalti dan ia akan dibayar tahun ini.

Ketika diminta mengulas cabaran pemimpin Umno agar isu tersebut dibawa ke mahkamah beliau berpendapat langkah itu adalah pilihan terakhir selepas gagal menemukan titik penyelesaian melalui perundingan.

“Kalau kita tengok kes Terengganu, kes sama lah tu, hingga sekarang masih belum selesai,” katanya.

Menyentuh mengenai pembayaran wang ihsan, Salleh menambah, ia wujud setelah Kelantan membuat tuntutan Royalti.

“Kenapa dulu tidak diberi wang ihsan itu?” soalnya.

“Apa-apa pun yang penting sekarang ini kita semua perlu kembali kepada undang-undang yang dibuat. Khususnya yang berkaitan dengan hak sesebuah negeri terhadap hasil mahsul mereka.

“Dan sesungguhnya itu lah hasrat sebenar penubuhan Petronas,” katanya sambil menyifatkan selagi politik keperibadian menguasai nafsu individu, selagi itu hal ini akan berpanjangan.

Sehubungan itu beliau menyarankan kepada mereka yang tidak terlibat dalam bidang perundangan termasuk menteri-menteri agar berhenti bercakap hal tuntutan royalti yang dibuat kerajaan Kelantan kerana rakyat bukannya bodoh.

“Selagi banyak mereka bercakap hal ini, semakin jelaslah kebodohan dan kedangkalan mereka terhadap undang-undang negara ini,” tambah beliau.

Sumber dari The Malaysian Insider

Isu "Allah" kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz

Berita dari The Malaysian Insider:

KUALA LUMPUR, Jan 18 — Masyarakat bukan Islam di tiga negeri dan Wilayah Persekutuan kini boleh menggunakan kalimah “Allah”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar).

Minggu lalu, beliau berkata kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Dengan itu mereka di Pulau Pinang dan Wilayah-wilayah Persekutuan juga boleh menggunakan kalimah “Allah” yang menjadi kontroversi sekarang.

Pendirian itu difahamkan berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Pada pandangan saya, keputusan mahkamah hanya efektif bagi Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang, bukan negeri-negeri lain yang ada undang-undang ini (enakmen),” kata beliau.

“Saya tidak fikir bahawa perlu diluluskan undang-undang (enakmen) di Sabah dan Sarawak. Saya merasakan ia menjadi budaya di sana tetapi berbeza di sini,” kata beliau merujuk kepada Semenanjung.

Setakat ini 10 negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguatkuasakan enakmen itu yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan secara bertulis atau lisan ungkapan dan perkataan yang dilarang.

Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak harus menggunakan lagi kalimah “Allah” di gereja masing-masing untuk merujuk kepada Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Sekarang baca pula pandangan dari utoh paloi banjar blog

Kenyataan Nazri seterusnya boleh juga membawa tafsiran bahawa Allah kini sudah mempunyai dua wajah. Di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah persekutuan, Allah berwajah universal, manakala di negeri-negeri lain Dia bersifat perkauman. Kenapa?

Allah, seperti juga Ketuanan Melayu, sudah dijadikan senjata politik. Senjata itu bertambah ampuh apabila ‘enakmen’ negeri-negeri di Semenanjung dijadikan kubu untuk berlindung. Walaupun enakmen itu boleh dipinda, mereka yang berkuasa tidak akan melakukannya selagi belum terdesak, selagi belum mendapat isyarat jelas perubahan angin pengundi Sabah dan Sarawak.

Kalau UMNO tidak menganggap isu Allah sebagai senjata penting, masakan KDN sendiri yang membuat rayuan sekali gus menyanggah keputusan hakim mahkamah tinggi. Dan secara tidak langsung memberi isyarat kepada mahkamah rayuan supaya tidak membuat keputusan serupa. Apabila kementerian melenting, mempertikai keputusan hakim, maka telinga nipis orang Melayu pun terus berdesing.

Orang Melayu yang kononnya mempertahan kesucian agama hilang pertimbangan, sehingga sanggup bertindak liar. Apa rasanya kalau orang lain merosakkan masjid, surau dan madrasah kita?

Selama ini kita marah bila Barat mengaitkan Islam dengan keganasan. Orang Melayu yang bertindak ganas ke atas gereja dan kuil sebenarnya me’rubber-stamp’kan tanggapan Barat - Islam sinonim dengan keganasan. Manakala sikap toleransi dan kesabaran pihak yang jadi mangsa menaikkan lagi imej agama mereka sebagai pendokong keamanan.

Adakah dengan menghalang agama lain menggunakan kalimah-kalimah tertentu dapat memberikan orang Melayu jalan pintas ke syurga? Atau dapat membetulkan akidah remajanya yang sudah terpesong?

Kalau jawapnnya ia, maka izinkan saya untuk berbeza pendapat.

Longgarnya akidah remaja Melayu hari ini bukan kerana pengaruh gereja dan majalah mereka. Kalau pun ada yang terpesong, kenapa disalahkan orang lain? Seperti juga dalam peperangan, kalau tewas, kenapa salahkan kekuatan musuh? Kenapa tidak salahkan kekurangan persiapan sendiri?

Ramai pernah mendengar hadis yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Namun, sejauh manakah ibu bapa mengamalkan gaya hidup yang berteraskan Islam secara menyeluruh, membina diri dan keluarga, membentuk anak-anak dengan jati diri muslim sejati?

Kalau pun ada, bilangannya dapat dikira dengan jari. Hari ini, lebih ramai yang berlumba – lumba mencari harta dunia dan kemewahan. Semua berkait rapat dengan wang dan keuntungan sehingga tiada garis pemisah antara halal dan haram. Akibatnya, lahirlah golongan remaja dan masyarakat yang runtuh akhlak dan goyah iman hingga terhakis satu persatu nilai suci agama yang seharusnya menjadi pedoman dan penyelamat kehidupan manusia. Kefahaman terhadap Islam semakin gersang diganti dengan fahaman jahiliah yang menjadi teras kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Apakah itu semua berpunca dari pengaruh agama lain atau semata-mata kerana sifat semula jadi orang Melayu? Setelah melihat bayang-bayang sendiri yang menggerunkan, maka diciptalah pelbagai alasan untuk mengalih pandangan. Bermula dengan isu pendatang, ketuanan Melayu dan yang terkini usaha ’mempatentkan’ atau meng’copyright’kan kalimah Allah.

Persoalannya, adakah dengan memonopoli penggunaan kalimah ‘Allah’ akan dapat menyedarkan orang Melayu, atau mengembalikan muda mudinya yang sinonim dengan rempit, bohsia, dadah, black metal, punk, skinhead dan bermacam lagi gejala negatif, ke jalan lurus?

Sebenarnya orang Melayu takut menghadapi kenyataan bahawa kegagalan menerapkan roh dan akidah Islam itulah punca terpesongnya halatuju mereka. Selagi kita tidak berani menerima kenyataan, selagi bapa tidak berhenti kencing berdiri, selama itu jugalah anak-anak akan terus kencing berlari.

Bila Hadi Awang dan Nik Aziz bersuara, ’spin doctor’ UMNO segera mengaitkannya dengan politik. Anehnya, (sebenarnya bukan aneh) bisunya ulama UMNO tidak pula dikaitkan dengan politik - menjaga kepentingan majikan yang bergantung harap kepada pengundi.

Presiden PAS sudah pun mengeluarkan pendapat dengan hujah dan nas. Apakah pula pendapat presiden UMNO? Sanggupkah menerima atau menolak dengan hujah dan nas tersendiri, atau hanya mendiamkan diri demi menjaga hati penyokong dan pengundi yang masih lena dibuai mimpi?

Atau bersetuju dengan pandangan radikal DS Nazri, “Actually, in my opinion, I prefer to let it be.”

Orang seperti saya yang hanya tahu Rukun Islam dan Rukun Iman, Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah, bangsa dan agama manapun yang ingin menggunakan perkataan ‘ALLAH’ tidak jadi persoalan. Menghayati hukum Wajib, Sunat, Makruh, Harus dan Haram lebih penting dari meniru aksi ayam jantan yang riuh berkokok sedangkan ekor bergelumang tahi.

Saturday, January 9, 2010

Anwar Mohon Perintah Mahkamah Syariah Dakwa Saiful

Kenyataan Media Dato’ Seri Anwar Ibrahim Selepas Memfailkan Tuntutan Agar Tuntutan Qazaf Tidak Dilengahkan Lagi


7hb Januari 2010

Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi
Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak
iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan
1997.

Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan
Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.

Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Laporan Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26.6.08.

Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan
kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah
Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama
saya pada waktu kejadian.

Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.

Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu
Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.

Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan
Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.

ANWAR IBRAHIM

Aai: Siapa berani....Siapa pulak yang takut... Lu fikir la sendiri!

Nasib Najib Terus dirundum Malang....

http://media.economist.com/images/20081108/4508AS4.jpg

Nampak PM 1Malaysia semakin tertekan berikutan isu-isu berkaitan kelemahan dan penyelewengan Kerajaan 1 Malaysia. Nampaknya isu 'Kalimah ALLAH' tidak mampu menutup bau busuk bangkai penyelewengan Kerajaan 1 Malaysia. Najib dilihat cuba mengalih isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scopene dengan pihak berkuasa Perancis yang berkemungkinan memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Sekarang Najib dilihat sedang mencipta sesuatu muslihat bagi mengalih perhatian rakyat Malaysia.Selain itu terdapat banyak lagi isu yang memeningkan kepala PM 1 Malaysia kita diantaranya:

1.Hak Royalti Minyak Rakyat Kelantan.

2.Kehilangan Enjin Pesawat T.U.D.M.

3.Kematian mengejut Teoh Beng Hock yang telah dibuktikan oleh pakar forensik dari Thailand Dr.Prontip bahawa beliau telah di BUNUH.

4.Kes perbicaraan MB Sah VS MB Haram di Perak.

Isu kalimah ALLAH yang diharap dapat mengalih isu ditambah dengan berita pembakaran beberapa Gereja sesekali tidak dapat menutup bau busuk bangkai yang ditinggalkan UMNO....

- Dari blog Na'im Nik'mat

"Allah" dalam lirik lagu resmi negeri-negeri...

Menyentuh mengenai lagu kebangsaan negeri-negeri, beberapa buah negeri menyelitkan nama Allah juga, bagaimana apabila yang bukan Islam dipaksa menyanyinya seperti lagu kebangsaan negeri Perak?

Dilanjutkan
Allah usianya Sultan
Adil dan murah
Memerintah watan

Ditaati rakyat
Kiri dan kanan
Iman yang soleh
Allah kurniakan

Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan
Negeri dan Sultan.

Atau lagu kebangsaan negeri Pahang

“Ya Allah Yang Maha Kuasa
Lanjutkan Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur Aman dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan Kebawah Duli Raja Kami”.

Mengapa ia tidak diharamkan atau diarah semua bukan-Islam tutup mulut dari menyebut perkataan Allah?

Inilah kerja-kerja bodoh golongan nasionalis dan separa-nasionalis (UG) yang cuba mengkurung nama Allah hanya untuk umat Islam tetapi tak melihat realiti sebenar apa yang telah dan sedang berlaku, sedangkan selama ini mereka berdiam diri! - Dari Best1of4' blog

Aai: "Allah" merujuk kepada tuhan ada disebutkan dalam lagu negeri Perak, Pahang dsb yang mana lagu ini adalah lagu rasmi yang dinyanyikan oleh semua anak negeri tidak kira bangsa dan ugama. Sudah tentu dalam kes ini "Allah" dimaksudkan adalah tuhan bagi orang Islam, Kristian, Budha, Hindu dsb... Cuma yang berbeza adalah konsep ketuhanan itu sendiri bagi setiap agama. Bagi orang Islam sudah tentu "Allah" itu Tuhan yang Esa, manakala bagi orang Kristian dengan fahaman konsep trinity... Sebab itu aku setuju dengan pandangan Ustaz MAZA yang mengatakan sesungguhnya pemakaian sebutan "Allah" oleh orang bukan Islam itu tidak dilarang dalam Al-Quran...Bahkan berdasarkan dalam lirik lagu rasmi negeri-negeri di Tanah Melayu ini, kita dah pun lama membenarkannya...

Fikirkan kenapa isu ini tidak timbul sewaktu dahulu? Kenapa sekarang baru nak bising? Cuba fikirkan kenapa isu ini dibiarkan berlarutan begitu lama.... Kenapa sewaktu Mahkamah memutuskan nama "Allah" boleh digunakan merujuk kepada Tuhan bagi orang Kristian, pihak Kerajaan tidak mengambil keputusan segera membuat rayuan di mahkamah bagi menangguhkan keputusan tersebut?

Dalam kes Perak tempohari, sewaktu mahkamah tinggi memutuskan MB Nizar adalah MB Perak yang sah, tak sampai 24 jam boleh pulak rayuan utk penangguhan dibuat.

Cuba fikirkan kenapa demonstrasi perarakan kepala lembu dibenarkan dan tiada pulak polis atau FRU yang menghalang demonstrasi itu diadakan?

Kini Kerajaan tidak pulak nak menghalang apabila orang Islam hendak berhimpun di masjid bagi menyuarakan bantahan... Bukankah isu ini sensitif dan perlu dihalang tapi dibenarkan pulak....

Pelikkan! Bila isu ini timbul parti manakah yang dijangka mendapat manfaatnya? Fikirkan.....


Friday, January 8, 2010

Isu "Allah" UMNO terdesak!!! - Zaid Ibrahim

Friday, January 8, 2010

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi UMNO terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini. UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama. Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama. Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas. Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza. Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah. Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”. Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah? Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka. Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin. Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain. Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain. Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain. Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untuk kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah. Siapa yang perlu disalahkan?

Zaid Ibrahim

Isu Nama "Allah", apa kata Dr Asri (Bekas Mufti Perlis)

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

Dr MAZA