Saturday, January 23, 2010

Isu "Allah" kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz

Berita dari The Malaysian Insider:

KUALA LUMPUR, Jan 18 — Masyarakat bukan Islam di tiga negeri dan Wilayah Persekutuan kini boleh menggunakan kalimah “Allah”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar).

Minggu lalu, beliau berkata kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Dengan itu mereka di Pulau Pinang dan Wilayah-wilayah Persekutuan juga boleh menggunakan kalimah “Allah” yang menjadi kontroversi sekarang.

Pendirian itu difahamkan berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Pada pandangan saya, keputusan mahkamah hanya efektif bagi Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang, bukan negeri-negeri lain yang ada undang-undang ini (enakmen),” kata beliau.

“Saya tidak fikir bahawa perlu diluluskan undang-undang (enakmen) di Sabah dan Sarawak. Saya merasakan ia menjadi budaya di sana tetapi berbeza di sini,” kata beliau merujuk kepada Semenanjung.

Setakat ini 10 negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguatkuasakan enakmen itu yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan secara bertulis atau lisan ungkapan dan perkataan yang dilarang.

Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak harus menggunakan lagi kalimah “Allah” di gereja masing-masing untuk merujuk kepada Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Sekarang baca pula pandangan dari utoh paloi banjar blog

Kenyataan Nazri seterusnya boleh juga membawa tafsiran bahawa Allah kini sudah mempunyai dua wajah. Di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah persekutuan, Allah berwajah universal, manakala di negeri-negeri lain Dia bersifat perkauman. Kenapa?

Allah, seperti juga Ketuanan Melayu, sudah dijadikan senjata politik. Senjata itu bertambah ampuh apabila ‘enakmen’ negeri-negeri di Semenanjung dijadikan kubu untuk berlindung. Walaupun enakmen itu boleh dipinda, mereka yang berkuasa tidak akan melakukannya selagi belum terdesak, selagi belum mendapat isyarat jelas perubahan angin pengundi Sabah dan Sarawak.

Kalau UMNO tidak menganggap isu Allah sebagai senjata penting, masakan KDN sendiri yang membuat rayuan sekali gus menyanggah keputusan hakim mahkamah tinggi. Dan secara tidak langsung memberi isyarat kepada mahkamah rayuan supaya tidak membuat keputusan serupa. Apabila kementerian melenting, mempertikai keputusan hakim, maka telinga nipis orang Melayu pun terus berdesing.

Orang Melayu yang kononnya mempertahan kesucian agama hilang pertimbangan, sehingga sanggup bertindak liar. Apa rasanya kalau orang lain merosakkan masjid, surau dan madrasah kita?

Selama ini kita marah bila Barat mengaitkan Islam dengan keganasan. Orang Melayu yang bertindak ganas ke atas gereja dan kuil sebenarnya me’rubber-stamp’kan tanggapan Barat - Islam sinonim dengan keganasan. Manakala sikap toleransi dan kesabaran pihak yang jadi mangsa menaikkan lagi imej agama mereka sebagai pendokong keamanan.

Adakah dengan menghalang agama lain menggunakan kalimah-kalimah tertentu dapat memberikan orang Melayu jalan pintas ke syurga? Atau dapat membetulkan akidah remajanya yang sudah terpesong?

Kalau jawapnnya ia, maka izinkan saya untuk berbeza pendapat.

Longgarnya akidah remaja Melayu hari ini bukan kerana pengaruh gereja dan majalah mereka. Kalau pun ada yang terpesong, kenapa disalahkan orang lain? Seperti juga dalam peperangan, kalau tewas, kenapa salahkan kekuatan musuh? Kenapa tidak salahkan kekurangan persiapan sendiri?

Ramai pernah mendengar hadis yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Namun, sejauh manakah ibu bapa mengamalkan gaya hidup yang berteraskan Islam secara menyeluruh, membina diri dan keluarga, membentuk anak-anak dengan jati diri muslim sejati?

Kalau pun ada, bilangannya dapat dikira dengan jari. Hari ini, lebih ramai yang berlumba – lumba mencari harta dunia dan kemewahan. Semua berkait rapat dengan wang dan keuntungan sehingga tiada garis pemisah antara halal dan haram. Akibatnya, lahirlah golongan remaja dan masyarakat yang runtuh akhlak dan goyah iman hingga terhakis satu persatu nilai suci agama yang seharusnya menjadi pedoman dan penyelamat kehidupan manusia. Kefahaman terhadap Islam semakin gersang diganti dengan fahaman jahiliah yang menjadi teras kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Apakah itu semua berpunca dari pengaruh agama lain atau semata-mata kerana sifat semula jadi orang Melayu? Setelah melihat bayang-bayang sendiri yang menggerunkan, maka diciptalah pelbagai alasan untuk mengalih pandangan. Bermula dengan isu pendatang, ketuanan Melayu dan yang terkini usaha ’mempatentkan’ atau meng’copyright’kan kalimah Allah.

Persoalannya, adakah dengan memonopoli penggunaan kalimah ‘Allah’ akan dapat menyedarkan orang Melayu, atau mengembalikan muda mudinya yang sinonim dengan rempit, bohsia, dadah, black metal, punk, skinhead dan bermacam lagi gejala negatif, ke jalan lurus?

Sebenarnya orang Melayu takut menghadapi kenyataan bahawa kegagalan menerapkan roh dan akidah Islam itulah punca terpesongnya halatuju mereka. Selagi kita tidak berani menerima kenyataan, selagi bapa tidak berhenti kencing berdiri, selama itu jugalah anak-anak akan terus kencing berlari.

Bila Hadi Awang dan Nik Aziz bersuara, ’spin doctor’ UMNO segera mengaitkannya dengan politik. Anehnya, (sebenarnya bukan aneh) bisunya ulama UMNO tidak pula dikaitkan dengan politik - menjaga kepentingan majikan yang bergantung harap kepada pengundi.

Presiden PAS sudah pun mengeluarkan pendapat dengan hujah dan nas. Apakah pula pendapat presiden UMNO? Sanggupkah menerima atau menolak dengan hujah dan nas tersendiri, atau hanya mendiamkan diri demi menjaga hati penyokong dan pengundi yang masih lena dibuai mimpi?

Atau bersetuju dengan pandangan radikal DS Nazri, “Actually, in my opinion, I prefer to let it be.”

Orang seperti saya yang hanya tahu Rukun Islam dan Rukun Iman, Fardhu ‘Ain dan Fardhu Kifayah, bangsa dan agama manapun yang ingin menggunakan perkataan ‘ALLAH’ tidak jadi persoalan. Menghayati hukum Wajib, Sunat, Makruh, Harus dan Haram lebih penting dari meniru aksi ayam jantan yang riuh berkokok sedangkan ekor bergelumang tahi.

No comments:

Post a Comment