Saturday, March 20, 2010

Ehud Barak kata 1 Israel, Najib kata 1 Malaysia

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wujud bukti jelas Syarikat APCO yang pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Israel, kini dibayar sehingga 60 juta ringgit, untuk menasihati Najib dan kerajaan pimpinannya.

Anwar berkata tindakan pemimpin-pemimpin Umno menggunakan khidmat syarikat atau perunding Yahudi bukanlah perkara baru kerana pernah dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.

"Orang kata "Anwar, mereka keji kamu, mereka fitnah kamu, mengapa kamu fitnah balik?". Tidak, saya tidak akan sebut kalau saya tidak ada bukti," kata Anwar. (Aaifikir: Kalau tak betul, UMNO boleh saman dia... ada berani ka?)

"Datuk Seri Najib lantik syarikat Yahudi bernama APCO. Saudara-saudari boleh layar internet dan selidik apa dan siapa APCO ini - sebuah syarikat perunding Yahudi. Siapa penasihat utamanya kalau bukan bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat dan bekas Duta Israel ke Jerman," tambah beliau.

"Untuk menjadi Duta Israel ke Amerika Syarikat dan Jerman, haruslah menjadi Zionis yang keras. Orang-orang seperti inilah yang mengasaskan APCO, yang antara peranannya adalah menasihatkan diktator, pemimpin-pemimpin dan pandangan kelompok Yahudi," tegas beliau.


Lihat video klik kat sini, Utk kenali APCO, klik kat sini.

Aaifikir: UMNO benci Isreal konon.... PIEERAHHHH!!!

Friday, March 19, 2010

Musa Hitam: Biar Kerajaan Kelantan Uruskan Royalti Minyak

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata, pembayaran wang royalti atau ihsan seharusnya diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan sebagaimana diperuntukkan mengikut undang-undang, bukannya dikendalikan oleh Kerajaan Pusat dengan mewujudkan jawatankuasa khas.

Justeru seolah-olah senada dengan pendirian bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah, Musa memberitahu, berdasarkan pengalamannya itu beliau lebih “arif” dalam isu pertikaian wang royalti antara kerajaan negeri Kelantan dan pusat sekarang.

Dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini, Musa (gambar) berkata pembayaran wang itu biar apapun istilahnya mesti dibuat kepada kerajaan negeri kerana matlamatnya adalah untuk pembangunan rakyat.

Pandangan ini dibuat ketika soal wang royalti menjadi isu politik hangat buat masa sekarang dengan Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan dan Ketua Umno Gua Musang berulang kali menegaskan Kelantan berhak menerima royalti atau bayaran tunai tetapi bukannya wang ihsan yang ditentukan kerajaan pusat.

Dalam komennya itu Musa juga percaya bahawa Tengku Razaleigh tahu apa yang beliau pertahankan.

“Kalau betullah kata Tengku Razaleigh, saya fikir Tengku Razaleigh arif dalam hal ini, oleh sebab dia dulu dengan Petronas, dia dalam kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Tengku Razaleigh mempertahankan hak Kelantan menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan pula pada tahun lalu menuntut royalti RM2 bilion hasil operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat. Namun Kerajaan Pusat mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti berkenaan kerana dua telaga minyak berkenaan terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairannya.

Sebaliknya Kerajaan Pusat melalui perbincangan dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta dalam bentuk wang ihsan kepada Kelantan iaitu lima peratus hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan.

Musa, yang pernah bergandingan dengan Tengku Razaleigh pada pemilihan Umno tahun 1987 melawan kepimpinan Presiden Umno ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, menyedari pandangannya ini mungkin akan menimbulkan keresahan di kalangan pemimpin Umno.

Selanjutnya baca kat sini...

Aaifikir: Ku Li dah bagi tamparan, dan kini satu lagi tamparan oleh Musa Hitam pulak keatas pentadbiran Najib berhubung pengagihan duit royalti minyak kepada Kelantan... Mereka berdua adalah Veteran UMNO..... Pukulan orang dalam lagi berbisa woi!..

Ku Li: Wang Ehsan punca rasuah, salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU, 19 Mac — Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Baca selanjutnya di sini...

Aaifikir: KuLi adalah antara pemimpin UMNO yang ikhlas dlm perjuangannya. Kalau kerajaan BN salah dia tentang, bukan pemimpin yg sokong buta-tuli...

Daftar Automatik Pengundi - SPR nak, Kerajaan BN tak nak

Sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan memberitahu SPR bercadang mendaftarkan pemilih secara automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi. SPR juga dalam kenyataan menyebut sejumlah 4.39 juta pengundi atau 28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi belum mendaftar. Pada pilihan raya umum Mac 2008, sebanyak 72 peratus atau 7,878,875 pemilih keluar mengundi daripada 10,922,139 jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan memberitahu persidangan parlimen, kerajaan tidak bercadang mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi rakyat yang mencapai umur 21 tahun.Sebaliknya, kata beliau kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar kerelaan mereka.

"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan kebebasan berpersatuan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

“Ini bermakna hanya SPR sahaja yang bersungguh-sungguh untuk mendaftar pemilih belum berdaftar, sedangkan kerajaan tidak berminat berbuat demikian.

Sumber: Selatan Online

Aaifikir: Macam la rakyat ni bodoh sangat. Menteri kata kerajaan tak mau paksa rakyat masa pilihanraya. Itu betul la...rakyat tak boleh dipaksa kalau depa nak mengundi ke atau tak nak! Itu masa nak mengundi. Ini kes masa nak daftar mengundi aje, bertujuan utk menyenangkan rakyat dan jimat masa dan wang jika dibuat secara automatik. Bukan ke senang nak bersihkan daftar mengundi nanti. Mana-mana orang yang dah meninggal, senang aje dibersihkan dari senarai daftar mengundi. Apasal kerajaan tak nak? Apa agenda kerajaan? Takut tak ada lagi pengundi hantu nak undi kerajaan ke? Hampa fikir la sendiri!...

Thursday, March 18, 2010

Kenyataan YB Saifuddin terhadap Pendedahan Zahrain

"Menilai ucapan dan persembahan Zahrain semalam prestasinya naik secara mendadak secara tiba. Sepanjang dia menjadi ahli parlimen, beliau tidak pernah mengambil bahagian berbahas didalam setiap perbahasan samada dalam perbentangan bajet dan juga dewan," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang dua tahun di dalam parlimen, Pakatan Rakyat boleh berdepan dan berbahas dengan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan buka semua ahli parlimen dari BN berani berdepan dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya kelompok yang keluar parti ini digunakan oleh BN sebagai tentera upahan dalam membuat serangan terhadap Pakatan Rakyat. Ini dapat dilihat dengan kehadiran menteri yang ramai semalam, kita dapat lihat bagaimana persiapan ini dibuat sebelumnya

"Pakatan Rakyat tidak akan merubah daripada berdepan dengan BN sebagai musuh politik utama kita, kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita berdepan dengan perasuah dan perompak harta rakyat dan kita berdepan dengan kerajaan yang tidak menghormati undang-undang

"Kita akan hadapi tentera upahan ini yang menyekat laluan kita tetapi kita anggap ini sebagai halangan kecil dan fokus Pakatan Rakyat tidak akan berubah. Zahrain digunakan sebagai watak baru yang ditonjolkan oleh BN dalam membongkar segala rahsia dalam Pakatan Rakyat dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Saya nak semua tahu Zahrain terbabit membuat satu lantikan terhadap syarikat RM2 dalam projek pengurusan Bukit Jambul Glof Club dan ini bertentangan polisi competency, accountability and transparency (CAT). Kita nak Zahrain kemukakan dahulu kenapa mesti syarikat yang baru didaftar untuk bersaing dalam mendapat projek yang bernilai hampir RM40juta, kenapa Zahrain memberi sokongan kepada syarikat terbabit jika dia tiada kepentingan kenapa dia bersungguh untuk dapatkan projek tersebut.

"Pada Jun 2009 sewaktu menjadi pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), antara keputusannya semua wakil rakyat KEADILAN tidak akan menerima gelaran Datuk walau ditawarkan tetapi Zahrain menulis kepada Ketua Menteri agar diberikan gelaran Datuk Seri. Dalam hal ini kita dapat lihat sikap beliau yang tidak betul dan bertentangan dengan keputusan mesyuarat tersebut," jelasnya

Saifuddin menegaskan berkenaan 16 September dan tidak menafikan tentang usaha 16 September tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahrain adalah tidak benar.

"Zahrain menyatakan Anwar telah berpakat dengan Timbalan Speaker yang akan membuat undi tidak percaya, untuk makluman timbalan speaker hanya ada dua orang sahaja iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, jadi kita akan cabar Zahrain untuk menyatakan siapa timbalan speaker tersebut.

Beliau menegaskan untuk memanggil Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan tidak ada orang lain layak.


(Sumber dari Greenboc)

Penghargaan Warga Emas RM100 Setahun oleh Kerajaan Negeri Penang

Kenyataan oleh Pejabat Ketua Menteri pada 15.3.2010 di Komtar, George Town

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk mengirim RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas ke alamat penerimanya. Ini adalah untuk memudahkan pengagihan wang tersebut agar warga emas tidak perlu bersusah-payah untuk berkunjung ke pusat khidmat ADUN untuk mendapat sumbangan wang sebanyak RM100. Sumbangan tersebut akan dikirimkan selepas pelancaran Program Penghargaan Warga Emas yang akan diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang pada 21.3.2010.

Bersama sumbangan tersebut, akan disertakan satu salinan surat daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan kandungannya seperti berikut:

Tuan/Puan,

Program Penghargaan Warga Emas Negeri Pulau Pinang Sebanyak RM100 Setahun

Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat sentiasa berusaha mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada semua. Kerajaan berjiwa rakyat boleh disempurnakan menerusi prinsip 3P-Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran rakyat.

-Perkasakan rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban supaya semua dapat peluang yang saksama dan berjaya atas usaha sendiri.

-Perkayakan rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Julung kali dalam sejarah Pulau Pinang, warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang bermastautin di Pulau Pinang diberi penghargaan wang tunai sebanyak RM100 setahun. Ia adalah hadiah simbolik kerajaan negeri kepada semua warga emas atas sumbangan dan usaha mereka yang membolehkan Pulau Pinang mengecapi kejayaan hari ini, baik dari segi sosio-ekonomi mahupun dalam aspek perpaduan dan harmoni masyarakat majmuk.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian hanya atas amalan belanjawan berhemah, jimat-cermat, urus tadbir baik berdasarkan CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) berdasarkan ‘amar maa’ruf nahi mungkar’. Urus tadbir CAT mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti rasuah terunggul, Transparency International, yang buat kali pertamanya memuji sebuah kerajaan negeri di Malaysia. Laporan Ketua Audit Negara juga memuji kejayaan kerajaan negeri yang menukarkan anggaran defisit Belanjawan 2008 sebanyak RM35 juta kepada rekod lebihan RM88 juta dan anggaran defisit Belanjawan 2009 sebanyak RM40 juta kepada lebihan RM77 juta.

Kerajaan negeri berasa kesal pihak lawan politik kami telah cuba sabotaj program penghargaan wang tunai RM100 ini dengan tuduhan pemberian wang kepada warga emas adalah satu tindakan rasuah. Walaubagaimanapun, kami akan meneruskan program ini dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang siasatan atau tindakan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Penghargaan wang tunai RM100 kali ini merupakan kesinambungan kerajaan PR yang telah pun berjaya membasmi miskin tegar, memberikan rebet air RM100 kepada hampir 170,000 keluarga susah dan juga sumbangan beras percuma pada tahun 2008-2009. Jangan ingat anda dilupakan apabila anda sudah tua. Selagi kerajaan PR Pulau Pinang ada, kepentingan warga emas akan diambil berat dan anda akan sentiasa dalam memori.

Usia Emas pujaan hati,
Tak lekang dek panas mahupun hujan,
Jasa dan budi di serata bumi,
Sanjungan rakyat berzaman-zaman.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang

Aaifikir: Kerajaan BN Penang dulu beri duit kepada sesiapa yang undi depa saja masa Pilihanraya, itu depa tak kata bagi rasuah ke? Yang Kerajaan Pakatan la ni dia bagi kepada semua Warga Emas Penang tak kira depa sokong ka tak sokong ka asalkan umur 60 tahun ke atas. Lagi pulak diberi setiap tahun, tak tunggu masa pilihanraya aje.... Anak-anak yang hafiz dapat setiap orang RM500, supaya nak galakkan remaja kita hafiz Quran... Banyak beza tu!

Pendedahan YB Zaharin di Parlimen


Semasa berucap di Parlimen kelmarin Zaharin mendedahkan:
  1. Dia diyakinkan yang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti lebih daripada mencukupi.
  2. Dia diberitahu kononnya Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di Istana Negara untuk memberi perkenan kepada pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan. Malah Yang di-Pertuan Agong dikatakan merestui YB Permatang Pauh sebagai Perdana Menteri keenam.
  3. Dia jugak dimaklumkan yang tentera pun merestui dan menyokong plan tu.
Raja Petra kata, Zaharin tak berbohong, cumanya dia tak cerita perabih plan peralihan tu. Raja Petra hari ni mendedahkan secara keseluruhan plan yang sebenarnya dalam Malaysian Today.

Raja Petra dedahkan sebenarnya calon PM bukan Anwar Ibrahim tapi orang lain. Sapa orang tu tak pulak Raja Petra dedahkan. Orang tu orang Umno dan orang tu bukan Najib.

Raja Petra jugak mendedahkan plan tu melibatkan banyak pihak termasuklah Special Branch dan dan Military Intelligence. Dr. Mahathir mungkin pun terlibat sama dan mungkin sebagai 'mastermind'. Agenda utama dalam plan tu adalah untuk menggulingkan PakLah dan memastikan Najib tidak jadi pengganti PakLah.

Tapi, kesudahannya plan tu tak berjaya bila calon PM tu tak setuju dengan cadangan Dr. Mahathir supaya diujudkan 'Majlis Presiden' yang Dr. Mahathir sendiri akan jadi pengerusi dan Perdana Menteri akan jadi semacam boneka kepada Majlis tu,

Kalau nak tau lebih tepat dan terpeinci plan tu dan cerita penuh. Boleh baca di Malaysia Today.

(Petikan diatas diambil dari blog Cenangau)

Penang: Beza Kerajaan BN/Gerakan dgn Kerajaan PR/DAP

Permatang Pauh - Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng telah merasmikan makmal sains pertama sekolah agama rakyat di Pulau Pinang. Sekolah agama rakyat Madrasah Al Aminiah tersebut yang terletak di jalan Permatang Nibong Permatang Pauh ini merupakan antara beberapa buah sekolah agama rakyat yang telah menerima bantuan kerajaan negeri.

Dalam ucapan tersebut Lim Guan Eng menjelaskan bahawa tindakan kerajaan negeri membantu sekolah agama rakyat bukan kerana ianya bersifat pekauman atau anti melayu sebagaimana yang di katakana oleh Bn. Menurut beliau sikap kerajaan negeri membantu adalah kerana di dapati kebanyakkan sekolah agama rakyat menghadapi kekurangan kemudahan dan tindakan kerajaan negeri di bawah YB Malek selaku Exco Agama kerajaan negeri ini adalah usaha permulaaan , malah kerajaan negeri juga menambah peruntukan sebanyak RM1. 7 juta pada tahun ini bagi membantu sekolah agama rakyat.

Menurut Guan Eng, belum ada mana-mana kerajaan negeri yang membantu dan membina makmal sains di sekolah agama rakyat ini.

“Mungkin untuk bertanding dengan sekolah kerajaan yang serba lengkap kita tidak mampu namun dari segi semangat juang dan belajar kita percaya sekolah agama rakyat ini punya kekuatan tersendiri dan dengan bantuan sebegini kita berharap di masa akan datang akan lahir pemimpin seperti YB Sallehman dan lain-lain lagi ilmuan islam di negara kita”

Sementara itu Yb Salleh Man dalam ucapan alu-aluan juga menjelaskan bahawa, pihak Majlis agama Islam negeri turut merasa bangga kerana selama ini bantuan ke sekolah agama rakyat di sekat. Malah sekolah- sekolah agama terpaksa melancarkan kempen derma bagi menampung keperluan pembelajaran anak-anak yang belajar di sekolah agama.

Aaifikir: Itu baru perintah selama 2 tahun aje tu berbanding dengan masa zaman BN dulu.....dah nampak keuntungan dia...

Sunday, March 14, 2010

Fatwa Al-Qaradhawi berkenaan fitnah Liwat Anwar


Kepada sesiapa yang belum menonton Fatwa Dr Yusuf Al-Qaradhawi tentang isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mari kita saksikan. Dalam video ini jelas Dr Yusuf Al-Qaradhawi menentang fitnah yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semoga video ini dapat membuka mata rakyat. Anda lihatlah sendiri, Ulama' besar dunia juga menyokong Anwar Ibrahim dari sudut pandangan Islam, bukan menyokong secara sembarangan. Yusuf Qaradhawi tidak mempunyai sebarang kepentingan politik di negara ini. Fikirkanlah sekiranya anda mampu berfikir. (sumber kat sini)



Aaifikir: Apa kata Ulamak UMNO pulak? Sewaktu DSAI berceramah di Kg Guar Jering awal Mac lalu, beliau menyatakan bahawa di pasentren wali sogo, sunan ampel wali ke 9 juga telah membuat solat hajat khas dimana hampir 12,000 orang yang hadir. Ini di hadiri oleh Ketua AMK saudara Shamsul Iskandar . Manakala di Kerala India pula Sheikh Abdul Rahman bersama 10,000 pengikutnya telah bersembahyang khas dan meminta beliau juga berdoa di rumah bersama-sama mereka (Rujuk kat sini).
Satu dunia sokong beliau, bukan orang Islam aje, Australia, Amerika, Turkey dsb.... Kalau dia tu jahat hampa ingat ada ka orang luar nak sokong dia??? Cuma orang bodoh aja yang tak boleh nampak hakikat sebenar.... Cuba tepuk dada, tanya diri sendiri, hampa ni kategori mana, bodoh ka pandai?

Monday, March 8, 2010

Keputusan Mahkamah Rayuan - Antara Dua Darjat

Hari ini Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes saman Anwar terhadap Dr Mahathir berkenaan isu pemecatan beliau dari jawatan TPM telah memutuskan bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 adalah sah.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff berkata Yang di-Pertuan Agong, sebagai raja berperlembagaan akan bertindak atas nasihat perdana menteri dan kabinet bagi membatalkan pelantikan berkenaan.

If the Prime Minister has decided that a particular minister should cease from holding the office, the Yang diPertuan Agong would not be able to say otherwise as a constitutional monarch,” said Alauddin, adding that under the Federal Constitutional, the King’s function was purely ceremonial.

Keputusan hari ini bertentangan dengan keputusan yang dibuat ketika kes Nizar dulu dimana Mahkamah memutuskan bahawa Sultan mempunyai hak untuk melantik atau menyingkir Menteri Besar.

Dalam reaksinya, Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong tidak dinasihatkan dan tidak memperkenankan keputusan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan pelantikannya itu. Katanya, Tengku Jaafar (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) telah bertemu dengannya di Munich "di mana baginda telah memberitahunya kepada saya". "Yang di-Pertuan Agong berkata baginda tidak memperkenannya dan sedih dengan pemecatan saya kerana ia tidak dilakukan mengikut perlembagaan," dakwa Anwar lagi. "Ia disaksikan oleh Tuanku Najihah dan (isteri Anwar Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail). Jelas ianya adalah satu tindakan yang salah kerana Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan keputusan tersebut tetapi dipaksa berbuat demikian," dakwa Anwar lagi. Anwar membandingkan keputusan hari ini dengan kes Perak, yang menetapkan bahawa sultan mempunyai kuasa mutlak untuk memecat menteri besar "tetapi dalam kes saya, perdana menterti yang mempunyai kuasa tersebut".

Keputusan Mahkamah yang lalu juga menyebut bahawa Agong mempunyai hak untuk menyingkir Perdana Menteri, tetapi dalam kes Anwar…keputusan mahkamah sudah terbalik.

Keputusan hari ini dibuat 12 tahun selepas permohonan berkenaan difailkan pada 1998. Ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Disember 1998 tanpa melalui perbicaraan penuh. Mahkamah Rayuan pula menolak rayuan Anwar pada 25 April 2007, dengan memutuskan bahawa beliau telah dipecat secara sah.

Aaifikir: Mahkamah Malaysia Boleh!!!! Semua keputusan berat kepada Umno / Barisan Nasional.